Aqsa Syarif Subang Jaya

Monday, May 31, 2010

Kenyataan Media Pasukan Pengurusan Krisis dan Sokongan Keluarga Misi LL4G Malaysia


SHAH ALAM, 31 Mei – Satu sidang media telah diadakan di De Palma Hotel, seksyen 19, Shah Alam bermula jam 3.20 pm. Ianya dikelolakan oleh Crisis Management Team (CMT) of LifeLine4Gaza dengan kerjasama banyak badan-badan bukan kerajaan termasuklah Yayasan Amal Malaysia, Pertubuhan Mawaddah Malaysia, Palestinian Center of Excellence (PACE), Aqsa Syarif, Viva Palestina Malaysia, Haluan, Pemuda Masjid dan lain-lain. Sidang media ini telah dipengerusikan oleh En. Zulkifli, dari Lifeline4gaza. Ramai aktivis dan sukarelawan dari semua badan-badan bukan kerajaan(NGO) serta wakil-wakil dari media seperti astro awani turut turun padang untuk mendengar berita-berita dan perkembangan terkini dari peserta konvoi itu.

Seluruh wakil-wakil dari badan bukan kerajaan telah bersepakat dengan mengatakan bahawa tindakan tentera Israel itu sebagai satu tindakan yang harus ditentang secara besar-besaran. Ini kerana, satunya, mereka iaitu pihak tentera Israel telah menyerang satu konvoi kemanusiaan dari banyak negara di seluruh dunia yang hanya membawa muatan-muatan yang tidak langsung berunsur senjata, malahan dikhabarkan, tiada satu paku pun dibawa oleh mereka. Keduanya, pihak tentera Israel, dengan sesuka hatinya menyerang konvoi ini di luar lingkungan kawasan pengawasan mereka iaitu di Laut Antarabangsa. Seterusnya, terdapat beberapa buah kapal yang mengikuti konvoi ini yang sepatutnya bergerak menuju pelabuhan ashood telah ditukar arah oleh pihak Israel ke pelabuhan Haifa. Lain dari itu, diterangkan oleh Dr. Hafidzi Mohd Noor, wakil dari Palestinian Centre of Excellence(PACE) yang menerangkan bahawa konvoi kemanusiaan ke Gaza ini telah memenuhi salah satu resolusi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB). Untuk itu peserta-peserta konvoi kemanusiaan ini secara rasmi adalah boleh menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Maka, ini sudah jelas lagi terang bahawa memang Israel itu sudah tidak ada lagi sifat-sifat kemanusiaan dalam diri mereka.

Hampir 20 orang sukarelawan telah syahid dan beberapa yang lain cedera akibat serangan yang dilakukan oleh pihak rejim zionis itu. Tentang siapa yang syahid itu masih belum dapat dikenal pasti. Diberitakan juga bahawa pihak tentera Israel telah merampas seluruh bilik media di atas kapal Mavi Marmara yang menyebabkan seluruh perhubungan dengan pihak media seluruh dunia terputus dan ini menyukarkan pihak media untuk mendapat perkembangan terkini daripada peserta-peserta konvoi. Untuk makluman, seramai 12 orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama 4 orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM), AQSA SYARIF dan Muslim Care. Pihak Israel telah membuat satu fitnah yang sangat besar dengan menyatakan sebab mereka melakukan serangan kepada peserta konvoi itu adalah kerana peserta konvoi itu sendiri telah memulakan serangan kepada tentera Israel.

Akhirnya, beberapa wakil dari badan-badan bukan kerajaan(NGO) yang terlibat dalam sidang media petang tadi telah mengeluarkan beberapa solusi yang mesti dilakukan oleh seluruh rakyat Malaysia tidak kira dari pangkat, warna kulit, bangsa atau agama. Pertamanya, kita diminta untuk berdoa dan melakukan solat hajat di seluruh masjid dan surau di Malaysia untuk mendoakan keselamatan perserta-peserta konvoi ini selamat sampai di gaza untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan itu. Keduanya, seluruh rakyat mesti menyatakan ketidak setujuan kepada pihak Israel bahawa tindakan mereka itu sangat-sangat hina dan pengecut kerana menyerang manusia yang tidak bersenjata dengan menyebarkan kepada masyarakat yang lain tentang berita dan perkembangan yang sebenar yang berlaku pada peserta konvoi ini. Seterusnya, wakil-wakil NGO telah menyeru pada seluruh rakyat Malaysia untuk turun padang pada hari Jumaat ini (4 JUN 2010) berhadapan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat untuk berdemonstrasi secara AMAN untuk menyatakan ketidaksetujuan dan ketidak puashatian terhadap apa yang berlaku kepada sukarelawan-sukarelawan konvoi kemanusiaan ini seterusnya menghantar memorandum kepada duta Amerika Syarikat di Malaysia yang akan menghalang dan menghentikan kekejaman Israel Zionis di Palestin. Lain daripada itu, seluruh pihak media yang kita tahu amat-amat memainkan peranan penting kepada masyarakat dunia diminta agar menyebarkan berita yang sebenar dan menguar-uarkan kepada masyarakat tentang siapa sebenarnya Israel itu.


 Berikut merupakan kenyataan media:

GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA

Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza;

1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.

2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.

3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain

a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,

b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,

c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan

d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.

Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia.

4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.

5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.

6. Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.

7. Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.

8. Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.

9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.

10. Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.

Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi
Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysia

No comments:

Post a Comment